Pages

Wednesday 4 December 2013

Aku dah besar





Terima kasih kerana sudi membaca.kalau rajin komen la ye.hee

Hantu Durian

Pada musim durian luruh, kami sekeluarga bergegas pulang ke kampung. Durian yang merupakan raja buah. Walaupun kulitnya tajam, isinya sangat enak dan lazat.




Terima kasih kerana sudi membaca.kalau rajin komen la ye.hee

Wednesday 20 November 2013

Aku Suka Coklat

Hari ini hari kepuasan memakan  coklat. Setelah  pulang  dari  Muzium  Coklat yang terletak  di Kota Damansara, makanan yang ditelan oleh mulutku ini hanyalah coklat sahaja.

            Majoriti semua orang suka makan coklat. Coklat merupakan makanan yang disukai  oleh  kanak  - kanak.  Aku   amat menyukainya  sejak dari kecil lagi. Coklat merupakan makanan yang wajib dimakan sewaktu kecil. Kesan daripada makan coklat yang banyak ialah gigiku menjadi rosak, hitam dan berlubang. Itulah punca kerap memakan makanan yang manis. Aku amat bersyukur gigi depanku sudah cantik apabila ke alam dewasa. Gigiku amat berbeza berbanding ketika berusia 7 tahun. Ketika berusia 8 tahun, gigi depanku yang rosak dan hitam dicabut oleh misi pergigian.


            Coklat mengingatkan aku kepada arwah atok yang dipanggil Tok Chein. Tok Chein selalu bergurau senda dengan meletakkan coklat atau gula – gula didahinya.  Tok Chein selalu membuatku tertawa dengan gurauannya itu. Itu hanya sehingga aku berumur 5 tahun. Arwah atok telah kembali ke rahmatullah ketika usiaku 6 tahun.


Terima kasih kerana sudi membaca.kalau rajin komen la ye.hee

Tuesday 8 October 2013

Hari - Hari Kerja 2

Walaupun belum rehat secukupnya, aku bersungguh - sungguh ingin menyambung kenangan bergelar seorang pekerja. Aku pulang awal kerana nasi lemak sudah habis dijual. Aku pulang menaiki bas, tidak seperti hari sebelumnya. Setiap kali tamat waktu bekerja, ada yang sudi menghantar kami pulang ke kolej masing - masing sekiranya kami pulang selepas pukul 11.00 p.m. Satu kemudahan disediakan. Alhamdulillah.

Kembali bercerita tentang nostalgia ketika aku bekerja suatu ketika dahulu. Pada cuti sem yang lepas, aku tidak melepaskan peluang untuk mencari rezeki. Nando's Jusco Tebrau City di Johor merupakan satu restoran yang menjadi tempat ke-empat aku bekerja. Aku ditugaskan menjadi penyambut pelanggan yang akan mengiringi pelanggan sehingga ke meja makan. Menyambut pelanggan, mengambil order, mengelap meja makan dan membersihkan lantai, itulah kerja - kerja aku disini. Aku bekerja di bulan suci buat orang yang beragama islam iaitu bulan Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan, diri ini sibuk bekerja malah di bulan Syawal iaitu hari perayaan aku memaksa diri untuk bekerja tanpa cuti. Walaupun ditinggalkan keluarga untuk menyambut perayaan di kampung, aku sempat bersalam -salaman dengan  mak dan abah tercinta pada hari raya pertama. Aku sangat bangga mempunyai keluarga yang amat mengambil berat dan menyayangi diriku. Aku seorang yang degil tetapi mak dan abah merestukan diriku untuk bekerja. Hari raya merupakan hari untuk keluarga berkumpul. Aku bahagia kerana dapat menatap wajah mak, abah dan adik - beradik yag lain sebelum mereka berangkat ke kampung. Aku sangat bahagia.

Hanya gambar yang dapat membuatkan aku tersenyum lebar apabila melihat dan menatapnya.
Riang gembira bersama keluarga di Hari Raya.

Sayang mak!
Sayang abah!

Kenangan bergambar ketika kami sibuk bekerja di Hari Raya. :)

Terima kasih kerana sudi membaca.kalau rajin komen la ye.hee

Hari - Hari Kerja 1


          Aku bergegas menaiki bas untuk ke fakulti kerana lewat pergi ke kelas. Setibanya aku di kelas Insurans Hayat, aku bernasib baik kerana pensyarah yang mengajar belum masuk ke kelas. Dr Hendon baru 15 minit menuturkan kata - kata sebagai pendahuluan untuk kuliah hari ini, tiba -tiba bekalan elektrik terputus. Dr Hendon memutuskan kelas tamat disebabkan bekalan elektrik terputus. Masing - masing kelihatan girang apabila kelas tamat begitu awal. Dalam kegirangan diselitkan ketidakselesaan kerana kipas tidak berfungsi yang membuatkan aku sentiasa mendapatkan air untuk menyejukkan badan.
Pada hari ini, aku menggantikan kawan yang tidak dapat bekerja. Jadi, aku kerja bertemankan Kak Tam. Kami menjual nasi lemak di Kiosk 4. Kegelapan malam dengan sedikit cahaya lilin, kami tetap bekerja seperti biasa walaupun tidak diterangi lampu yang kebiasaannya menerangi kawasan ini. Kiosk - kiosk lain juga tidak ditutup kerana rezeki yang halal perlu dicari dengan  cara apa sekalipun. Aku amat kagum dengan bos yang membayar gaji tiap - tiap kali aku bekerja. Ini adalah kerana dia mengambil alternatif kedua untuk berniaga dengan meletakkan lilin - lilin di setiap penjuru yang memerlukan cahaya. Inilah contoh untuk menjadi peniaga yang berjaya. Apabila tiada pelanggan, aku mengimbas kembali kenangan lalu sewaktu bekerja suatu ketika dahulu. Seronok bekerja kerana disenangi oleh ramai kawan dan aku dapat berkenalan dengan semua rakan yang dijadikan kawan sehingga kini.

           KFC adalah tempat pertama aku bekerja selepas tamat menduduki peperiksaan SPM. Aku amat gembira kerana peroleh ramai kawan. Tambahan lagi,  ramai yang sebaya denganku.  Ummu, Eyka, Fikri dan arif adalah rakan sebaya yang bekerja sementara menunggu tawaran menyambung pelajaran. Kerja aku hanya membersihkan meja, membasuh pinggan yang kotor dan menjadi juruwang. Pada mulanya, aku mengelakkan diri untuk menjadi juruwang. Namun, selepas ramai rakan yang berhenti kerja, aku terpaksa belajar untuk menjadi juruwang di kaunter. Akhirnya, aku berhenti bekerja di KFC kerana mendapat surat tawaran ke matrikulasi.

          Toastbox Midvalley adalah tempat kedua aku bekerja. Aku membuat kerja sambilan ketika tahun dua di universiti. Aku bekerja bersama kakak dan adikku. Membakar roti,  menjadi juruwang, menyapu sampah,  mengelap meja adalah kerja - kerja aku disini.  Seterusnya, aku bekerja di Toastbox Berjaya Times Square.
Aku bekerja disini selepas kesihatan aku kembali pulih. Kakiku yang tulangnya sudah bercantum kembali pulih setelah aku banyak berjalan dan aku dapat berjalan secara normal. Kami  suka bergambar walaupun sedang bekerja. 

 Rozy, aku dan adik ketika di Toastbox Berjaya Times Square

 Bersama  kawan dunia akhirat
 Kami bersama jejaka idaman gadis indonesia,Mamat

Kami suka bergambar apabila tiada pelanggan :D

Masa untuk mengakhiri coretan dalam  entri ini dan akan disambung pada entri seterusnya.  Alhamdulillah. Dah  ada elektrik.

Assalamualaikum,
Masni.



Terima kasih kerana sudi membaca.kalau rajin komen la ye.hee

Monday 7 October 2013

Suara Mas

Sementara menunggu latihan koir bermula, aku segera membuka laptop.
Aku amat berminat dalam bidang nyanyian walaupun tidak mempunyai cita-cita menjadi seorang penyanyi.
Oleh kerana menyanyi dijadikan hobi, aku akan menyertai pertandingan menyanyi dan persatuan yang melibatkan nyanyian.

Aku giat dalam bidang nyanyian sejak berumur 11 tahun. Surau An-Nur iaitu surau berdekatan dengan rumahku sering  menganjurkan program ketika sambutan maulidurrasul dan Maal hijrah. Oleh itu, beberapa  pertandingan  akan dianjurkan seperti tilawah Al-Quran, nasyid, azan, tulisan khat, hafazzan dan banyak lagi.




Pertandingan nasyid ketika berumur 11 tahun dan johan dalam pertandingan ketika itu.



    Pertandingan nasyid ketika berumur 13 tahun.             



 









Terima kasih kerana sudi membaca.kalau rajin komen la ye.hee

Saturday 5 October 2013

Cerita Mak Abah Tersayang

Akhirnya, semangat untuk mencoretkan nostalgia hadir setelah aku puas melepaskan rindu kepada mak dan abah. Aku tidak jemu menelefon mak dan abah berkali - kali untuk mendengar suara mereka pada hari ini. Aku bertanyakan khabar dan banyak soalan yang di tuju kepada mak dan abah. Kami bergelak ketawa sepanjang berbual di dalam talian.

 3 Disember 1991 merupakan tarikh buat kali keempat mak dan abah dikurniakan zuriat daripada Yang Maha Pencipta Lagi Maha Berkuasa. Anak keempat dilahirkan dengan seberat 1.9kg. Ketika itu, mak dikesan menghidapi penyakit darah tinggi ketika melahirkanku. Berat badan bayi seumpama seekor anak kucing bertambah hari demi hari apabila disusukan dengan susu mak dan susu formula iaitu susu S26. Sepanjang aku di dalam kandungan, air susu soya akan menjadi minuman mak selepas selesai makan. 'Kuat minum susu', itulah yang digambarkan oleh mak dan abah kerana aku dipanggil budak gemok semasa kecil. Mak juga menyatakan aku ketika kecil adalah seorang yang pemalu. 'Kuat senyum' juga merupakan satu gambaran daripada mak dan abah ketika aku kecil. Senyuman akan terukir kepada orang yang bermain dan membelai diriku. Selain itu, aku juga 'kuat menangis' di waktu kelaparan.

Apabila terdengar aku dipanggil 'budak gemuk' oleh mak, masing - masing ketawa. Alangkah bahagia sekiranya aku dipanggil 'budak gemuk' seperti dulu. Si kurus keding, itulah panggilan terhadapku sekarang. Aku lebih selesa sekiranya dipanggil 'budak gemuk' berbanding 'si kurus keding'. Walaubagaimanapun, kita kena bersyukur kepada Allah terhadap nikmat dan pemberian yang dikurniakan. Alhamdulillah. Setelah lima minggu tidak dapat kutatap wajah mak dan abah didepan mata, hanya dengan suara mereka menjadi pengubat rindu. Tiba - tiba, aku mempunyai keinginan untuk meminum susu S26 setelah tamat perbualan bersama mak dan abah di telefon. 

'Budak gemuk' bersama bapanya.

'Budak gemuk' suka bermain anak patung.


Terima kasih kerana sudi membaca.kalau rajin komen la ye.hee